• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Berita Gembira Untuk Nelayan Terengganu, 800 Permohonan Diluluskan

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Kerajaan Terengganu mengumumkan berita gembira untuk golongan nelayan di negeri ini apabila sebanyak kira-kira 800 Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) telah diluluskan permohonan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perikanan Malaysia.

Dr Azman Ibrahim (tengah).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah lesen sampan yang diluluskan itu melibatkan seramai hampir 1,600 orang nelayan di seluruh Terengganu yang bakal mendapat manfaat.

"Kita telah melakukan pemutihan sebelum ini melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dan mengenal pasti 800 sampan nelayan yang belum berlesen. Dengan bilangan dua orang nelayan bagi tiap-tiap sampan, ini bermakna hampir 1,600 nelayan di Terengganu akan menerima manfaat.

"Ini sedaya mampu kerajaan negeri lakukan, kita sudah libatkan semua jabatan dan persatuan yang mewakili para nelayan dalam jawatankuasa bertindak tersebut untuk mendapatkan senarai sampan nelayan yang tiada lesen. Sekiranya ada lagi yang tercicir, kita akan angkat permohonan dalam fasa seterusnya.

"Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, saya amat berterima kasih kepada MAFI yang mengambil berat permohonan kerajaan negeri dengan kelulusan ini. Ini merupakan satu detik besar bagi para nelayan pantai yang perlu kita syukuri dan raikan.

"Lebih menarik, saya dimaklumkan Terengganu menjadi perintis dalam usaha permohonan Lesen Nelayan Sampan Zon A setelah ia dibekukan selama ini. Kita percaya negeri-negeri lain juga bakal mendapat manfaat yang sama dengan pengumuman MAFI membuka semula permohonan lesen ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program Melabuh Unjam myKP (myKomuniti Perikanan) Kuala Ibai dan myKP Chendering di perairan Kuala Terengganu di sini pagi tadi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali. Sesi ramah mesra turut diadakan bersama komuniti nelayan yang hadir.

Sebanyak 37 unit unjam dilabuhkan di setiap lokasi (myKP Chendering dan Kuala Ibai) bersama pemberat konkrit dengan jarak lima batu nautika dari pantai, iaitu zon tangkapan nelayan pantai dan zon larangan pukat tunda.

Mengulas lanjut, katanya, dijangkakan lesen sampan terbabit akan diterima oleh nelayan pantai di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh sebulan lagi.

"Secara asasnya permohonan sudah diluluskan. Kita akan buat susulan dengan pentadbiran di Putrajaya dan kita jangka insya-Allah ianya akan selesai dalam tempoh sebulan ini," jelasnya.

Dalam pada itu, ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan langkah yang diambil kerajaan negeri tersebut sudah menyelesaikan satu sudut masalah besar yang dihadapi oleh nelayan-nelayan.

"Ribuan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Exco dan agensi yang terlibat dalam usaha ini. Ia sekali gus membuka peluang yang lebih luas untuk nelayan di Terengganu dan DUN Batu Buruk khususnya bagi mencari rezeki dan sumber hasil laut di negeri kita sendiri," ujarnya.