• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Bersama Banteras Gejala Sumbang Dalam Masyarakat



Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 4 Ogos - Masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing untuk menangani kemelut sosial yang kian berleluasa di kalangan generasi muda pada hari ini.

Penghulu Mukim Seberang Takir, Khairi Ghazali berkata masyarakat merupakan lokomotif utama untuk menggerakkan kekuatan dalam menghadapi segala kepincangan yang ditimbulkan oleh golongan remaja.

"Perkara ini bukan hanya kerja sukarelawan sahaja,tapi ia perlu membabitkan masyarakat setempat dalam membantu menanganinya.

"Masyarakat juga perlu memainkan peranan bersama dalam mencegah penyakit sosial ini,”ujar Khairi Ghazali seusai program cegah maksiat di Pantai Teluk Ketapang, malam kelmarin.

Turut serta dalam program ini, Pegawai Daie Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu,Ustaz Noorahmad Hakim Mohd Noor dan pemuda Seberang Takir.


Operasi ini melibatkan kawasan Jambatan Angkat (Drawbridge), Pantai Teluk Ketapang, kawasan letak kereta Lapangan Terbang Sultan Mahmud sehingga ke Pantai Tok Jembal bermula jam 11.30 malam dan berakhir pada jam tiga pagi.

Skuad sukarelawan ini mengambil pendekatan menasihati pasangan yang mereka jumpa dan menelefon keluarga mereka untuk membawa pulang anak-anak mereka.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras dewan Undangan Negeri(DUN)Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, beliau menyokong penuh penubuhan  skuad sukarelawan Amar Makruf Nahi Mungkar di kawasan berkenaan.

"Saya menyokong apa yang dibuat oleh para ahli sukarelawan ini.

"Saya berharap seluruh Terengganu perlu ada skuad seperti ini,”ujar Mohd Fazil.

Tag: