Besut, 5 Feb– Program Gelombang Terengganu Hijab Day Peringkat Daerah Besut 2026 disifatkan sebagai satu gelombang kesedaran besar dalam membangkitkan maruah ummah serta memperkukuh nilai iman dan akhlak dalam masyarakat, khususnya generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata program tersebut bukan sekadar acara biasa, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa pembangunan di Besut perlu seiring dengan kekuatan iman dan pembentukan akhlak.

“Hari ini bukan sekadar program, tetapi satu gelombang yang mahu membangkitkan maruah ummah. Besut bukan sahaja mahu kuat dari segi pembangunan, tetapi juga kuat dari segi iman dan akhlak,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, kemarin.
Menurut beliau, hijab tidak wajar dilihat hanya sebagai pakaian, sebaliknya merupakan simbol maruah, harga diri dan tanda kecintaan seorang muslimah kepada Allah SWT.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini bertujuan mendidik dan membimbing, bukan menghukum, terutamanya dalam membantu anak-anak dan remaja yang masih mencari identiti diri dalam berdepan cabaran dunia digital masa kini.
Mengulas peranan wanita, Husaimi berkata wanita merupakan asas pembinaan masyarakat dan penentu masa depan negeri.
“Wanita adalah ibu kepada generasi dan sekolah pertama kepada anak-anak. Jika iman dan akhlak wanita dijaga, insya-Allah masa depan Besut dan Terengganu akan terus terpelihara,” katanya.
Beliau juga menyentuh slogan program, “Lelaki Qawwam, Pelindung Wanita”, yang menurutnya membawa maksud lelaki dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT sebagai pelindung dan pemimpin keluarga berasaskan kasih sayang serta tanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan cabaran besar yang dihadapi masyarakat hari ini termasuk pengaruh budaya luar tanpa tapisan dan hakisan nilai malu, justeru menuntut semua pihak bangkit bersama memperkukuh benteng akidah dan akhlak.
Sebagai ADUN Hulu Besut, beliau menegaskan komitmen untuk terus menyokong program yang mengangkat nilai Islam, wanita dan institusi keluarga demi membina Hulu Besut yang seimbang dari sudut pembangunan dan kerohanian.
Program berkenaan diakhiri dengan perasmian rasmi Gelombang Terengganu Hijab Day Peringkat Daerah Besut 2026, dengan harapan gelombang kesedaran ini terus mengalir ke seluruh lapisan masyarakat.