• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Biar Anak-Anak Gembira Mulakan Persekolahan

Ustaz Ahmad Shah mengukur ukur lilit pinggang salah seorang anak penerima bantuan awal persekolahan hari ini.
Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Keprihatinan Kerajaan Terengganu terbukti apabila mengambil pendekatan mengubah corak agihan bantuan awal persekolahan 2019 dalam bentuk baucer barangan bagi memastikan anak-anak gembira dan bersemangat untuk ke sekolah dalam keadaan berpakaian baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, ianya merupakan kebajikan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat.

"Mudah-mudahan rakyat menikmati sedikit kesenangan dalam suasana menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi serta pendapatan yang berkurang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan Sesi 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar bagi pemegang baucer dari Kampung Tokku dan Cabang Tiga di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar hari ini.


Dalam pada itu, Ahmad Shah turut berharap agar anak-anak penerima bantuan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

"Terima kasih pada semua yang datang. Saya  mendoakan agar mereka memulakan sesi pembelajaran dengan langkah yang cemerlang insya-Allah," tambahnya.

Program yang bermula seawal jam 9 pagi itu berjalan lancar dengan kerjasama yang baik ditunjukkan oleh para petugas yang mengagihkan bantuan berupa pakaian, kasut dan beg sekolah.

Seramai 250 orang penerima hadir yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah. Hadir sama, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), DUN Bandar, Sayyid Hasan Mohamad.

Tag: