• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bidong Beach and Underwater Clean Up Didik Pelihara Khazanah Alam

SETIU, 1 Ogos- Bidong Beach and Underwater Clean Up merupakan satu program yang penting dalam menyedarkan masyarakat bahawa pentingnya penjagaan kebersihan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, bukan setakat flora dan fauna, program tersebut turut menjadi satu daya tarikan dalam mendidik masyarakat dalam menghargai keindahan alam yang perlu dijaga serta dipelihara bersama.

"Namun, usaha ini hanya dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh dan teratur melalui penglibatan pelbagai agensi. 

"Dalam erti kata lain, merentas sektor, cabang disiplin dan mevariasikan kepakaran masing-masing dalam usaha menjadikan Pulau Bidong sebagai pulau yang selamat dan bersih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bidong Beach and Underwater Clean Up di sini, hari ini.

Tambahnya, khazanah alam semulajadi serta sejarah yang ada khususnya di Pulau Bidong perlu sentiasa dipelihara dan dilindungi untuk generasi hadapan. 

Oleh itu, beliau menyifatkan, program berkenaan amat bertepatan sebagai platform memperkenalkan fungsi dan tanggungjawab Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu di dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi, habitat dan ekosistem di persekitaran Pulau Bidong yang akan menjadi salah satu Taman Negeri dibawah kendalian MPTN.

"Usaha-usaha yang dilaksanakan bukan hanya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada manusia bahkan kepada hidupan lain di atas muka bumi ini.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri sedar bahawa usaha-usaha yang dilaksanakan tidak akan tercapai tanpa kesedaran bersama daripada masyarakat awam," katanya.

Dalam program itu, kira-kira 200 peserta melibatkan pelbagai agensi dan jabatan melaksanakan pembersihan sekitar pantai.

Selain itu, seramai sembilan penyelam skuba dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), MPTN dan Kelab Sukan Skuba Bidong Laut turut melakukan pembersihan di perairan berhampiran jeti.

Bertemakan 'Sayangi Pulau Bidong', program berkenaan juga menjadi medium lesedaran kepada segenap lapisan untuk terus membawa perubahan terhadap landskap perlindungan ekosistem dan pemuliharaan khususnya di negeri Terengganu.


 


Tag: