Bike Week Himpun 120,000 Pengunjung, Kukuh Rantaian Ekonomi Rakyat

KUALA TERENGGANU, 6 Julai Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025 sekali lagi membuktikan impaknya apabila berjaya menghimpunkan lebih 120,000 pengunjung dan penunggang motosikal dari seluruh negara dan luar negara, sekali gus meningkatkan rantaian ekonomi rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran acara tahunan itu menjadi pemangkin pelancongan domestik dan ekonomi tempatan, serta berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penaja dan agensi yang terlibat.

“Sebagaimana yang saya maklum, program malam ini ialah Terengganu International Bike Week yang kita adakan setiap tahun.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur bersama seluruh pihak yang terlibat untuk menjayakan program ini.

“Teristimewanya, terima kasih kepada semua 'riders' yang datang dari seluruh negara dan luar dari Malaysia. Program seperti ini tidak akan  berjaya tanpa penglibatan semua pihak, termasuk penaja-penaja dan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri TIBW, di Dataran Shah Bandar, di sini, semalam.

Menurut Dr. Samsuri, kerajaan negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan penganjuran TIBW akan dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan lebih meriah serta penambahan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Insya-Allah, tahun hadapan kita percaya pihak penganjur bersama kerajaan negeri akan terus mengadakan program seperti ini dengan lebih meriah dan mungkin ada penambahan program,” ujarnya.

Katanya lagi, kehadiran pengunjung yang ramai termasuk ahli keluarga dan pelancong luar turut menyumbang secara langsung kepada ekonomi penduduk setempat.

“Saya percaya bukan sahaja riders yang datang, tetapi juga keluarga mereka dan pengunjung-pengunjung lain yang ingin menyaksikan apa yang berlaku di sini.

“Secara tidak langsung, ini menyumbang kepada ekonomi tempatan dari segi perniagaan seperti kedai makan, penginapan, rumah inap, hotel dan sebagainya. Saya yakin ini meningkatkan rantaian ekonomi kepada rakyat negeri Terengganu secara khususnya," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik turut memeriahkan TIBW 2025, antaranya pameran agensi kerajaan seperti Rejimen 512 Askar Wataniah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.

Selain itu, program sepanjang 4 hari itu turut diserikan dengan ceramah agama khas oleh Ustaz Azhar Idrus bergandingan dengan pelawak terkenal Zizan Razak, serta program TIBW Berselawat yang dipimpin oleh Ustaz Mustafa Kamal.

TIBW juga menampilkan pelbagai acara seperti pertunjukan motosikal berkuasa tinggi, pertandingan motor klasik, konvoi amal, serta reruai jualan tempatan yang disambut meriah oleh pengunjung dari pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, Dr. Samsuri turut mengingatkan bahawa aspek keselamatan jalan raya sentiasa diberi penekanan dalam program seperti ini melalui penglibatan agensi-agensi berkaitan.

“Kita selalu beri peringatan. Dalam program seperti ini juga ada ceramah daripada pihak berkuasa yang sentiasa mengingatkan kepada mereka supaya menjaga keselamatan.

“Yang penting ialah datang dengan selamat dan kembali dengan selamat. Saya mewakili kerajaan negeri menggesa kepada semua penunggang dan pengguna jalan raya yang lain supaya menjaga keselamatan diri, jangan memandu secara cuai, dan pandulah dengan berhemah," jelasnya.

Beliau menzahirkan harapan agar semua peserta dapat pulang dengan selamat ke destinasi masing-masing dan kembali lagi ke Terengganu pada edisi seterusnya.