• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Bina Taman Industri Hijau di Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh mencadangkan tanah seluas 5,000 ekar di Hulu Terengganu dijadikan  sebagai salah satu Taman Industri Hijau (Green Industry Park) negeri Terengganu.

Dr Mamad mencadangkan demikian ketika berucap membahas Ucapan Belanjawan 2024 Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata Hulu Terengganu mempunyai sumber untuk dibangunkan industri baru kerana di daerah tersebut tersedia tenaga elektrik 660 megawat dari Tasik Kenyir.

"Di Hulu Terengganu ada cadangan membangunkan industri tenaga solar, kuasa hidro-elektrik sedia ada dan juga sumber air yang banyak, pengangkutan yang paling dekat dengan Lebuhraya Pantai Timur II (LPTII) dan ECRL di Durian Guling yang jauhnya kira-kira 15 kilometer sahaja," jelas beliau.

Tanah berkenaan katanya berhampiran kira-kira 80 kilometer dari kawasan industri  Dungun.

"Jadi dengan tenaga kerja yang murah Kuala Berang mencadangkan satu tanah seluas 5,000 ekar dijadikan 'Green Industry Park'.

"Saya telah sebut di sidang DUN yang lepas yang mana tanah tersebut telah dipajakkan dan sebahagiannya telah diberi kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan  (PTP)," ujarnya.

Beliau mengharapkan kerajaan negeri mengambil maklum tentang maklumat berkenaan dan mengharapkan wujud industri baru di Hulu Terengganu.


Tag: