• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun

KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Satu  tembok penghadang ombak akan dibina dalam tempoh terdekat bagi menyelamatkan perigi lama berusia lebih seratus tahun di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus daripada musnah akibat masalah hakisan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata beliau difahamkan masalah hakisan pantai yang berlaku semakin kritikal sehingga mengubah struktur tanah di sekeliling kawasan perigi itu.

"Sebagai langkah awal, kita akan bina sebuah tembok penghadang di kawasan perigi ini secepat mungkin bagi melindungi ia kekal pada kedudukan asal dan tidak dihanyutkan ombak.

"Proses pembinaan tembok itu akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, GPQ Sdn Bhd di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM30,000," katanya ketika dihubungi.

Menurut Razali, cadangan pembinaan tembok penghadang itu telah dipersetujui oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam industri pembinaan.

"Mereka telah bersetuju untuk membina tembok penghadang yang bersesuaian untuk memastikan struktur perigi lama itu kekal dan tidak terjejas apabila berdepan masalah hakisan yang semakin kritikal ketika ini," ujarnya.
Difahamkan, sekitar awal tahun 1970-an, perigi lama itu berada pada kedudukan antara 100 hingga 200 meter dari pantai.

Kawasan di sekitar perigi yang dipercayai dibina mengikut kalendar Islam pada 1345 Hijrah itu semakin terhakis sehingga mencecah dasarnya sejak musim tengkujuh melanda bermula hujung November tahun lalu.

Perigi sedalam kira-kira lima meter itu akan runtuh sepenuhnya sekiranya banjir melanda dan berlaku perubahan cuaca akibat Monsun Timur Laut (MTL) jika tiada usaha segera dilakukan bagi memulihara segera bahan peninggalan sejarah itu.
 


Tag: