• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

'Boleh Tampung Perbelanjaan Kami' - Penerima Pencen Rakyat

KUALA NERUS, 17 Januari – Rata-rata warga emas yang menerima bantuan kewangan pencen rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur dan terharu atas usaha keprihatinan di bawah kepemimpinan kerajaan negeri.

Salah seorang penerima berasal dari Kampung Pulau Ketam, Mohammad Abdullah, 73, menyifatkan pemberian itu dapat menampung kos perbelanjaan bulanannya.

‘’Meskipun pada dahulunya kerja saya hanya memandu lori di sebuah syarikat swasta namun inisiatif ini sangat dihargai dan membantu golongan warga emas seperti saya,’’ katanya ketika ditemu bual selepas majlis penyerahan bantuan pencen rakyat Negeri Terengganu Peringkat DUN Bukit Tunggal, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata bantuan RM600 setahun ini adalah untuk warga emas yang tidak menerima sebarang bantuan dari pihak kerajaan.

‘’Mewakili Kerajaan Terengganu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ibu-ibu ayah-ayah yang terpilih menerima sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan dari pihak kerajaan ini.

‘’Sumbangan ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan sumbangan warga emas yang telah lama bekerja sebelum ini dalam apa jua lapangan sama ada buruh, nelayan, petani dan sebagainya bagi memajukan sektor ekonomi negeri," jelasnya.

Jelas beliau, bantuan itu juga termasuk kejayaan 18 daripada 20 manifesto dari 2018 sehingga 2021 tempoh pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan janji sebagaimana yang termaktub dalam manifesto Pilihanraya Umum lepas.

“Jika ada rakyat dalam Dun ini yang layak tetapi terlepas pandang atau tercicir nama mereka, sila hubungi wakil kampung setempat untuk tindakan selanjutnya,’’ tambahnya.