• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

14,457 Kakitangan Awam Terengganu Dapat Bonus RM2,000

KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Seramai 14,457 penjawat awam Terenganu menerima khabar gembira apabila kerajaan Negeri mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM2,000.

Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata bayaran itu bakal dibayar pada Mac nanti.

"Kita (kerajaan) telah membuat ketetapan sebagaimana yang disebut  oleh Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) (pemberian) mengikut pentadbiran, kita akan ikut apa yang disarankan oleh Kerajaan Persekutuan (pemberian bonus) sebanyak RM2,000," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada  media selepas Majlis Pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, bagi tujuan itu kerajaan negeri akan mengikut sebagaimana dipekelilingkan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Dr Ahmad Samsuri ketika berucap membentang Belanjawan Negeri Terengganu 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun lalu berkata beliau tidak membuat pengumuman pemberian bonus kakitangan awam seperti biasa kerana keadaan semasa itu tidak mengizinkan beliau berbuat demikian.

Katanya, pemberian bonus itu mengikut pentadbiran kerajaan dan tidak diumumkan jumlahnya.

Ketika itu Dr Ahmad Samsuri bertanding sebagai calon Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dan kempen pilihan raya tersebut sedang berjalan, dibimbangi menimbulkan implikasi Undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.


Tag: