KEMAMAN, 1 Jun – Terengganu mencatat satu lagi sejarah baharu dalam sektor tenaga apabila menerima kontrak bernilai RM1.5 bilion daripada syarikat minyak dan gas negara, Petronas, kontrak terbesar pernah diterima anak syarikat negeri itu dalam industri petroleum setakat ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penerimaan kontrak tersebut menunjukkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap keupayaan anak syarikat Kerajaan Negeri dalam industri berkenaan.
“Sebelum ini kita pernah laksanakan kontrak besar bersama ExxonMobil bernilai RM500 juta pada tahun 2020 dan ia berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Kini dengan Petronas, kita menerima kepercayaan dalam skala yang jauh lebih besar,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri kini di landasan terbaik menubuhkan syarikat petroleum milik Terengganu sendiri.
"Usaha ini digerakkan secara serius. Saya sendiri bersama Menteri Besar telah ke Abu Dhabi, Oman dan Brunei untuk membina jaringan kerjasama strategik dalam memastikan syarikat ini dapat direalisasikan.
“Insya-Allah, Terengganu bakal mempunyai syarikat petroleum sendiri tidak lama lagi,” katanya ketika berucap di Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) yang berlangsung di Padang Astaka, Chukai, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan kejayaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri-negeri di bawahnya dengan baik, khususnya dari segi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
“Ekonomi Terengganu antara yang mencatat pertumbuhan tertinggi. Malah, Kedah pula menerima kemasukan pelaburan tertinggi di Malaysia.
“Contohnya, pelabuhan di Kemaman yang sebelum ini hanya mengurus sekitar tiga juta tan dagangan setahun, kini telah meningkat kepada tujuh hingga lapan juta tan, ini pencapaian era pemerintahan kita,” tambahnya.