• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Buat Laporan Jika Peniaga Bazar Buka Awal

KUALA TERENGGANU, 17 Mac - orang ramai diminta mengajukan aduan kepada petugas yang ditempatkan di bazar-bazar Ramadan ataupun menggunakan saluran yang betul kepada pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyeru kerjasama daripada orang ramai yang melihat peniaga makanan yang memulakan perniagaan sebelum jam 3.00 petang, supaya boleh melaporkan secara terus kepada penguatkuasa atau petugas yang ditempatkan di setiap bazar.

"Boleh juga membuat panggilan terus kepada PBT berkaitan supaya kami boleh mengambil tindakan segera. 

"Kalau aduan di Facebook, jika kita baca, kita boleh ambil tindakan kerana aduan yang tidak proper pun kita akan ambil tindakan tetapi ada beberapa kemungkinan di mana mungkin kita terlepas pandang.

Tetapi pastikan apa yang diadukan itu adalah benar dan ada bukti, sebab ada kes yang dilaporkan apabila kita turun ia tidak berlaku sebagaimana maklumat yang disampaikan, jadi tidak bagus begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) di bazar Ramadan di Dataran Syahbandar, semalam.

Dalam program berkenaan, Wan Sukairi turut mengagihkan apron kepada peniaga-peniaga disamping menasihati mereka supaya menjaga kebersihan dan mengikut peraturan ditetapkan.

"Kepada peniaga, saya menyeru supaya jangan buka (mula berniaga) sebelum jam 3.00 petang. Saya beranggapan mereka (yang pernah dilaporkan) bukan memulakan perniagaan sebaliknya membuat persiapan seperti membersihkan kedai pada waktu itu.

"Kita meniaga ini disamping hendak cari rezeki kita juga ingin cari keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini," ujarnya.

 

 

 

 

 


Tag: