• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Budayakan Baca Al Quran Seawal Usia




Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS– Program Membudayakan al-Quran perlu dilaksanakan oleh ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi membolehkan iman mereka dibentuk dan diperkukuhkan menjadi insan bertakwa yang menjadi teras dan benteng kepada pembentukan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya menerapkan budaya membaca Al-Quran kepada anak-anak mereka sejak dari usia kecil bagi melahirkan generasi yang seimbang kejayaanya samada duniawi atau ukhrawi.

“Saya ingin memetik satu peribahasa melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang merujuk kepada asas awal pendidikan, namun begitu masih belum terlambat lagi bagi golongan berusia kerana tiada had umur dalam menuntut ilmu.

“Rasulullah S.A.W bersabda, ajari anakmu tiga perkara, yang pertama cinta akan Nabi, iaitu dengan berusaha mengamalkan segala sunnahnya, kedua adalah dengan mencintai keluarga Nabi dan terakhir adalah dengan membaca Al-Quran.

“Pada zaman yang penuh mencabar ini, ibu bapa seharusnya tidak memberi gajet kepada anak-anak tanpa dikawal seperti telefon pintar, hal ini kerana ia boleh menganggu perkembangan otak mereka jika disalah guna”, tegasnya ketika merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam Dan Graduasi Kanak-Kanak Taska Permata Keluarga Parlimen Kuala Nerus Di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Seberang Takir, Mohd fazil Wahab.



Jelasnya, tanpa pendidikan agama, anak-anak tidak mempunyai benteng yang kukuh bagi menghadapi keruntuhan moral di luar yang semakin berleluasa terutama pada masa sekarang senario 'buta Al-Quran' dalam kalangan generasi muda semakin menggusarkan banyak pihak.

Justeru itu, Dr Alias mengingatkan masyarakat persekitaran dan ibu bapa khususnya agar mendidik anak-anak dengan menghadiri program-program agama bagi mencapai hasrat kerajaan menjadikan negeri ini Maju Berkat Dan Sejahtera.

Sementara itu, beliau bagi pihak kerajaan negeri juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menaiktaraf tahap keselamatan di pusat-pusat taman asuhan kanak-kanak (taska) yang sedang beroperasi dan bakal dibina baru.

“Setiap bangunan taska yang dibina mestilah mengikut ciri-ciri keselamatan yang telah digariskan oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kebakaran dan sebagainya. Peraturan ini dicipta bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi ia adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan semua pihak.

“Di samping itu, Kerajaan juga turut bercadang untuk membina taska ini di setiap jabatan kerajaan bagi memudahkan ibu bapa membina emosi anak-anak mereka dengan cara yang sihat," katanya





Tag: