• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sambutan Bulan Dakwah 2020 peringkat negeri Terengganu yang julung kali dianjurkan, dimulai dengan  program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah dan kebajikan di negeri ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau berharap program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dapat mencapai objektif dalam meringankan beban masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19.

“Pihak negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pihak YADIM dalam menganjurkan bulan dakwah di peringkat negeri.

“Pelaksanaan ini wajar khususnya pada bulan Rabiulawal, bulan lahirnya Rasullulah SWT, yang membawa dakwah untuk mendidik masyarakat.

“Bagi program Musa’adah COVID-19, melibatkan pemberian bantuan makanan dan asas keperluan dapur kepada 30 golongan asnaf Qariah Kampung Gong Tok Nasek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.

Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin berkata, bulan dakwah dilaksanakan di seluruh negara dari 4 Oktober sehingga 30 Disember melibatkan kira-kira 2,000 program bersifat kebajikan dan dakwah kepada masyarakat setempat.

“Program Cuci-cuci Masjid di Masjid Gong Tok Nasek pula melibatkan hampir 20 orang sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM.

"Kita menyambut mereka yang ingin menyertai dan 300 sukarelawan lagi dijangka menyertai. Program dalam perancangan seterusnya adalah Is’ad Al Usrah iaitu inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikian di kediaman asnaf,” ulasnya.

Mengulas tentang kesan gelombang ketiga pandemik, beliau berkata, isu tersebut bukan kekangan tetapi cabaran untuk melaksanakan program dakwah secara kreatif dengan kapasiti dan peserta yang ada.