KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Yayasan Terengganu (YT) bercadang mengambil langkah proaktif menangani isu buli di sekolah dengan meneliti pendekatan yang dilaksanakan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), iaitu melantik bekas anggota tentera sebagai warden.
Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, satu pasukan khas (task force) telah ditubuhkan, diketuai Timbalan Pengarah YT, bagi merangka kaedah terbaik mencegah gejala buli khususnya di sekolah-sekolah di bawah kelolaan yayasan tersebut.
“Bagi menangani kes buli ini, kita telah menubuhkan task force untuk membincangkan kaedah pelaksanaan yang sesuai.
“Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk pertukaran penyelia dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU di Dewan Besar Yayasan Terengganu, semalam.
Menurutnya, kaedah melantik bekas tentera sebagai warden yang digunakan MRSM turut akan dinilai kesesuaiannya sebelum diputuskan pelaksanaan di sekolah-sekolah YT.
“Pendekatan baharu ini akan dibincangkan segera dalam task force berkenaan bagi memastikan usaha mencegah kes buli dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” ujarnya.