lightning-solid
Berita :
'Burung Hijrah'  Selesaikan Kemelut Siput Gondang Emas Di Terengganu
'Burung Hijrah' Selesaikan Kemelut Siput Gondang Emas Di Terengganu
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
40

BESUT, 11 Februari – Masalah serangan siput gondang emas yang sebelum ini menghantui pesawah di Terengganu kini seolah-olah menemui 'penawar' semulajadi melalui kehadiran ribuan burung hijrah.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menyifatkan kehadiran spesies burung tersebut sebagai satu rahmat dan agen kawalan biologi yang sangat berkesan.


Menurut beliau, sebelum ini pelbagai kaedah termasuk penggunaan racun makhluk perosak telah digunakan bagi mengawal populasi siput gondang, namun isu tersebut tetap gagal diselesaikan sepenuhnya.


"Akhirnya Allah hantar burung hijrah ini. Kita tidak tahu dari negara mana asalnya kerana ia bukan spesies tempatan, namun kehadirannya dalam jumlah ratusan hingga ribuan ekor telah membantu 'membersihkan' sawah daripada perosak," katanya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.


Fenomena ini dilaporkan telah berlaku secara konsisten selama lebih lima tahun. Burung-burung ini bukan sahaja mensasarkan siput gondang emas, malah turut memakan spesies siput lain termasuk siput sedut yang berada di kawasan sawah.


Tambah Dr. Azman lagi, melihat kepada sumbangan besar kumpulan burung ini terhadap kelestarian tanaman padi di negeri itu, beliau secara berseloroh menyifatkan spesies itu layak diberikan 'status naturalisasi'.
Antara impak positif yang lain ialah pengurangan penggunaan racun kimia turun secara drastik dan pemulihan kualiti tanaman padi dapat ditingkatkan. 


Keberkesanan ejen semulajadi ini membuktikan bahawa ekosistem yang seimbang mampu menjadi solusi terbaik dalam mendepani cabaran sektor pertanian, sekali gus menjamin ketersediaan sekuriti makanan negeri.


Tag :

Artikel Berkaitan