Cadangan Pembinaan Jalan Baharu Terengganu-Kelantan Sudah Diangkat

KUALA TERENGGANU, 16 April - Cadangan Projek Membina Jalan Baru dari Felda Keruak, Besut, Terengganu ke Chuchoh Puteri, Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). 

Inisiatif mengangkat cadangan projek oleh JKR Terengganu kepada KKDW menunjukkan adanya usaha berterusan bagi memastikan keperluan jaringan jalan raya di kawasan luar bandar tidak diabaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek tersebut dilihat penting bagi meningkatkan akses penduduk Besut ke kawasan bersempadan di Kelantan serta merangsang pembangunan ekonomi setempat sekiranya diluluskan dan dilaksanakan kelak.

"Cadangan Projek Membina Jalan Baru Dari Felda Keruak, Besut, Terengganu Ke Chuchoh Puteri, Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) oleh pihak Jabatan Kerja Raya Terengganu di bawah RP1 RMK13.

"Bagi Projek Cadangan Membina Jalan Baru dari Pekan Keruak ke Jalan Gunung Bongsu, Hulu Besut, Terengganu pula, projek ini juga telah diangkat ke KKDW oleh JKR Terengganu semasa Rolling Plan kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMK12)," jelasnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, semalam.

Menurut beliau, pada masa ini, kedua-dua projek yang disebutkan – Jalan Keruak/Gunung Bongsu dan Jalan Keruak/Chuchoh Puteri – tidak disenaraikan dalam senarai keutamaan negeri di bawah RP1 RMK13.