• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cadangan Teknokrat Mampu Seimbangkan Pentadbiran

KEMAMAN, 29 Mei - Masyarakat dan parti-parti politik perlu lebih terbuka terhadap penglibatan pemimpin dari latar belakang teknokrat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memanfaatkan kepakaran serta pengalaman mereka demi kebaikan rakyat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata justeru itu cadangan keanggotaan Dewan Negara menjadi 140 iaitu 88 lantikan YDPA dan 52 mewakili negeri-negeri selari dengan penambahan anggota Dewan Rakyat.

“Cadangan ini  dapat meningkatkan ruang penglibatan teknokrat untuk pelantikan ke jawatan Menteri atau Timbalan Menteri.

“Selain itu, satu  pindaan Perlembagaan Negeri-negeri dicadangkan bagi mewujudkan dan menambah jumlah ADUN secara lantikan pada kadar sekitar 15 peratus  dari bilangan ADUN yang dipilih dan membenarkan ADUN secara lantikan diberi kepercayaan menjadi anggota pentadbiran kerajaan negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Perasmian Resolusi Konvensyen Pendemokrasian Cendekiawan dan Umarak Terengganu di DITC Kemaman Terengganu.

 Katanya lagi, satu ‘blue print’ sistem Pendidikan Rakyat Terengganu (PRT) yang berteraskan sistem pendidikan Islam dan berintegrasi secara komprihensif dengan sistem pendidikan arus perdana bermula daripada peringkat pra-sekolah sehingga ke peringkat universiti perlu diwujudkan.

“Selain itu, matapelajaran sistem kekeluargaan Islam hendaklah diwujudkan di setiap peringkat pengajian dan dijadikan matapelajar wajib lulus.

“Ini termasuk mengadakan sekolah satu sesi selama 8 jam bagi semua sekolah di Terengganu untuk memudahkan integrasi bidang duniawi, ukhrawi dan beriadah di samping membantu ibubapa yang bekerja menguruskan anak-anak mereka,” ujar beliau.

Tambahnya, bagi meningkatkan ekonomi, satu  rangkaian kerjasama aktiviti ekonomi rakyat yang menuruti syariat sebagai satu jihad ekonomi rakyat di samping meneruskan promosi ‘buy muslim first’ (BMF).

“Kita perlu mewujudkan satu eko-sistem ekonomi berkonsepkan hub halal yang bekerjasama dan saling menyokong di antara satu sama lain, bagi mempertingkatkan daya saing produk di pasaran global.

“Termasuk membentuk makanisma wakaf ekonomi rakyat bagi menyediakan akses kepada latihan dan kemahiran, modal awal dan pebinaan infrastruktur business di dalam sektor perniagaan dan perusahaan,” ujarnya.