• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Cahaya Pelita Raya Ceriakan Kampung Sekati

Zubir menyalakan pelita ketika Program Turun Padang SempenaPertandingan Pelita Raya anjuran Jabatan Perlancongan Negeri Terengganu (JPNT) 

Lebih 100 rumah di Kampung Sekati,  Kuala Terengganu diterangi cahaya pelita pelbagai bentuk sejak minggu lalu sebagai persiapan menyertai Pertandingan Pelita Raya anjuran Jabatan Perlancongan Negeri Terengganu (JPNT).

Pertandingan pelita raya yang akan diadili malam ini sebagai satu daripada program diatur JPNT bagi memeriahkan lagi sambutan Visit Beautiful Terengganu 2017 sempena perayaan Aidilfitri.

Penghulu kanan mukim Bandar Kuala Terengganu, Mohammad Che Abdul Rahman, Kampung Sekati Manis dipilih sebagai wakil masyarakat di daerah ini untuk menyertai pertandingan berkenaan yang turut membabitkan beberapa lagi kampung di empat daerah lain.

Katanya antara daerah turut terpilih bertanding dalam pertandingan pelita raya ini adalah Kemaman, Kuala Nerus dan Besut.

“Penduduk yang menyertai pertandingan ini bertungkus-lumus menyiapkan hiasan pelita mengikut kreativiti masing-masing sejak sejak minggu lalu.

“Pelbagai rekaan diketengahkan mereka bagi menunjukkan komitmen menyokong pertandingan yang dianjurkan ini, selain cuba memenangi hadiah utama yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Mohammad berkata, selain menambah keceriaan di kampung terbabit dengan limpahan cahaya pelita, ia juga sekaligus dapat menarik minat orang ramai berkunjung ke kampung berkenaan untuk bergambar dan sebagainya.

 “Hasil kreativiti penduduk kampung sangat terserlah dengan adanya pertandingan ini dan ia juga secara tidak langsung menambah keceriaan serta memeriahkan sambutan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi,"katanya.

Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM42,000 bagi empat daerah yang menyertai pertandingan itu dengan hadiah pertama RM3,000, diikuti kedua RM2,000 dan ketiga RM500.

Pemenang keempat dan kelima, akan menerima RM500 dan RM300 masing-masing.

Tag: