• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Calon BN Besut Perlu Cermat Berkempen

BESUT, 14 November - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut, Datuk Nawi Mohamad diingatkan supaya cermat dalam berkempen agar tidak menyebabkan berlakunya salah faham kepada rakyat. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini A. Rahman menegaskan tempoh berkempen perlulah berlangsung dalam suasana harmoni tanpa menyebarkan sebarang fitnah terutama terhadap kerajaan negeri. 

“UMNO datang ke Pulau Perhentian beberapa kali sepanjang tempoh berkempen ini dan saya difahamkan isu yang disebut kepada masyarakat sini bahawa kerajaan negeri rampas tanah rakyat. 

“Sebenarnya tak betul, tanah di Teluk Keke itu milik anak syarikat kerajaan negeri iaitu TDM Berhad (TDM), TDM berurusan dengan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi membangunkan pusat peranginan dengan cara pajakan,” katanya. 
 

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Pengenalan Calon Pilihanraya Umum (PRU) PAS di Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini semalam.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera turut berkata, pelan pembangunan tersebut telah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat di Pulau Perhentian. 

“Saya dimaklumkan bahawa ada rakyat pulau sudah bekerja dengan pemaju buat masa ini dan kita yakin, apabila siap dibina bangunan (pusat peranginan) itu lagi ramai masyarakat pulau diterima kerja. 

“Jadi pesanan saya kepada calon yang bertanding terutamanya daripada kem BN, jangan heret dan manipulasi usaha kerajaan negeri untuk manfaat takyat,” tegasnya. 

Terdahulu, calon BN dilihat terdesak dalam berkempen sehingga perlu mengheret persepsi rakyat pulau terhadap isu tanah 42 hektar itu. 

Parlimen Besut mempunyai pengundi seramai lebih 111,600 yang layak mengundi melibatkan empat calon yang bertanding daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Gerakan Tanah Air (GTA).


Tag: