• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

'Calon PAS PRK Kemaman Tunggu Keputusan Mesyuarat'

KUALA NERUS, 29 Oktober - Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi kerusi Parlimen Kemaman akan diputuskan secara bersama dalam mesyuarat parti.

Menteri Besar yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa sekarang pihaknya memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jika saya komen kiri atau kanan, maka akan menyebabkan timbul pelbagai persepsi dan editor-editor akan wujudkan ‘tagline’ yang kontroversi.

“Keputusan calon tersebut akan diumumkan sendiri oleh Presiden PAS dalam tempoh jangka masa yang telah diberikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, mesyuarat pusat yang pertama adalah pada Isnin ini iaitu mesyuarat pertama selepas Muktamar diadakan.

“Saya tidak pasti mengenai agenda yang akan dibincangkan pada hari tersebut.

"Tetapi ada beberapa agenda seperti pelantikan Pesuruhjaya PAS Negeri-negeri dan AJK lantikan,” ujarnya.

Pada PRU15, wakil PAS, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

Beliau mendapat 65,714 undi sekali gus menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar yang mewakili BN, Datuk Seri Ahmad Said.

Dua lagi calon iaitu Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan wakil Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.

 

 


Tag: