• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cari Kaedah Terbaik Dalam Sistem Pentadbiran Negeri

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Kerajaan negeri perlu mencari kaedah serta model terbaik dalam sistem pentadbiran agar lebih telus dan efisien sebelum memutuskan sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi kepentingan kerajaan dan rakyat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, ianya berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah menyaksikan keputusan rakyat telah memilih Kerajaan Terengganu tanpa pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri pada penggal ini. 

"Situasi ini berlaku di dalam tempoh sambutan 25 tahun Jubli Perak pemerintahan beta dan melakarkan lembaran sejarah baharu era milenium ketiga bagi negara Malaysia dan negeri Terengganu khasnya.

"Oleh yang demikian, melalui doktrin pengasingan kuasa yang merupakan pembahagian di dalam amalan demokrasi iaitu kuasa eksekutif, legislatif serta judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif bagi kerajaan negeri walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan," titah Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Titah Sultan Mizan, baginda yakin dengan ‘rules of law’ di negara Malaysia serta prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang Undang berjalan dengan baik, adil serta saksama kepada semua strata sosial di dalam masyarakat. 

“Disiplin serta cabang ilmu pentadbiran yang teratur dan berkesan dapat dipastikan dengan cara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan-badan kerajaan yang berkepentingan agar keputusan yang dibuat secara cekap dan tepat,” titah Sultan Mizan.