• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Cari Penaja Bantu Biayai Pengurusan Zoo Bukit Takal

Ahmad Samsuri bersama rombongan meninjau sekitar Zoo Bukit Takal. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail  

Kerajaan negeri bercadang bekerjasama dengan agensi swasta dan pelabur luar bagi membiayai dan memajukan Taman Rekreasi dan Zoo Mini Bukit Takal, Kemaman tanpa melibatkan pertambahan dana kerajaan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsurii Mokhtar berkata, pelbagai perancangan yang akan dilaksanakan, antaranya  mencari penaja bagi membiayai kos mengurus dan menyelenggara kemudahan itu.

“Difahamkan kira-kira RM3 juta setahun terpaksa dibelanjakan pihak pengurusan zoo bagi tujuan itu sedangkan pendapatan yang diperoleh  hasil kutipan tiket  hanya sekitar RM700,000 hingga RM800,000 bagi tempoh sama.


“Melihat keadan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah yang munasabah  sama ada untuk membiayai, menaiktaraf kemudahan dan penjagaan haiwan tanpa melibatkan pertambahan kewangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan Taman Rekreasi dan Zoo Mini Bukit Takal, Kemaman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri juga mempelawa pelabur-pelabur  bagi memberi pandangan untuk memajukan zoo berkenaan yang memberi impak kepada sektor ekonomi negeri dan juga penduduk.

“Bagi perancangan terdekat, beberapa gerai makanan dan cederahati akan dibina Majlis Perbandaran Kemaman, selain mempelawa penduduk setempat  menyediakan makanan haiwan,”katanya.



Tag: