• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

COVID-19:73 Sekolah Di Dungun Ditutup

 

DUNGUN, 6 November - Sebanyak 73 sekolah di daerah Dungun ditutup mulai 7 hingga 20 November depan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diistiharkan oleh kerajaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata  pihaknya mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif COVID-19  dan memutuskan untuk menutup sekolah dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Katanya, bilangan institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

"Senarai institusi pendidikan yang ditutup itu dilampirkan bersama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi.

"Untuk makluman, senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM: www.moe.gov.my serta platform media sosial rasmi KPM," katanya.

Menurut kenyataan itu, sekolah dan institusi pendidikan mempunyai asrama juga ditutup, justeru ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Walaubagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa ataupun yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah jagaan warden asrama.

"Keperluan makanan dan minuman pelajar yang tinggal di asrama sepanjang tempoh tidak pulang ke rumah mereka, akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi terbabit,"katanya.

Manakala bagi murid atau pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah dan semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

"Manual PdP di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Dato'  Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Rasau, Dungun berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.