• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SETIU, 2 Julai – Usaha sama Kerajaan Negeri bersama nelayan komuniti Kampung Fikri dapat menyelesaikan masalah laluan air di Kuala Setiu yang dipenuhi beberapa batang pokok rhu yang tumbang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, muka kuala yang menjadi laluan nelayan daripada daerah Besut dan Setiu dicemari dengan pokok dihanyutkan arus deras.

Dr Azman Ibrahim bersama Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif membantu kerja gotong-royong

“Ada rintihan orang kelaut menceritakan bot-bot mereka bengkok akibat terlanggar dahan di sini.

“Hakisan tanah dan pohon tumbang menyebabkan laluan pelayaran keluar masuk nelayan melalui kuala terhalang dan merbahaya kepada bot nelayan

“Oleh itu, kita ambil tindakan segera meluluskan peruntukan kerja gotong-royong yang turut dibantu komuniti setempat diikuti Majlis Daerah Setiu, Polis dan Pejabat Daerah Setiu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.

Katanya, usaha tersebut dijangka selesai melalui usaha pembersihan dalam masa dua hingga tiga hari.

Beliau turut berterima kasih kepada komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang yang turut serta dalam kolaborasi tersebut.