• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Cuaca Cerah, Pengundi Dinasihat Keluar Mengundi Awal

KEMAMAN, 2 Disember - Cuaca cerah pada pagi ini diharap memberi peluang kepada seramai 141, 043 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman untuk keluar lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab terhadap negara.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kewajipan itu perlu disegerakan dalam keadaan cuaca di Terengganu yang tidak menentu.

"Alhamdulillah, pada pagi ini cuaca sangat baik, kita berharap supaya ia bertahan sampai ke petang, kita sama-sama berdoa.

"Minta pengundi keluar awal, sebab (cuaca) tidak dapat dijangka. Kalau boleh semua dapat keluar lebih awal,  sekiranya berlaku hujan pada sebelah petang sekurang-kurangnya semua sudah 'cover'," ujarnya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pemberita semasa tiba di Pusat Pengundian, Sekolah Kebangsaan (SK)Kertih, di sini, hari ini.

SK Kertih merupakan salah satu daripada 18 pusat pengundian yang dilawati oleh Calon PAS.

Mengulas mengenai jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tehadap peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, ujarnya beliau berharap peratusan itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Memang cabaran dalam mana-mana PRK ini memang berdepan cabaran berkenaan.

"Cuma kita berharap suasana di Terengganu berbeza kerana kesedaran dalam kalangan pengundi, saya berharap keadaanya lebih baik dan ramai yang akan keluar mengundi," jelasnya.


Tag: