Berita :
Cuaca Panas, Penggunaan Peralatan Elektrik Berlebihan Cetus Risiko Kebakaran
Cuaca Panas, Penggunaan Peralatan Elektrik Berlebihan Cetus Risiko Kebakaran
Ahmad Zaeem Zainudin
54 minit yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Penggunaan peralatan elektrik yang tinggi ketika cuaca panas dikenal pasti antara faktor utama peningkatan risiko kebakaran rumah di Terengganu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu.

Timbalan Pengarah JBPM Negeri Terengganu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, berdasarkan analisis jabatan itu, kebanyakan kebakaran premis ketika musim panas berpunca daripada penggunaan elektrik berlebihan selain masalah pendawaian lama yang tidak diselenggara.

"Dan juga, dalam statistik ini kita telah menerima sebanyak 84 kes melibatkan struktur seperti rumah, sekolah, pejabat, kedai dan sebagainya.

"Jadi, daripada dapatan kami, analisis yang telah dibuat punca utama kebakaran rumah musim ini boleh dikatakan berpunca daripada penggunaan elektrik yang tinggi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Bicara Jabatan Kerajaan baru-baru ini ketika mengulas statistik kebakaran di negeri itu yang merekodkan sebanyak 1,830 kes bermula Januari hingga 10 Mei lalu.

Menurutnya, daripada keseluruhan jumlah kes direkodkan, sebanyak 84 kes melibatkan kebakaran struktur manakala selebihnya melibatkan kebakaran terbuka termasuk kawasan hutan dan tanah gambut.

Ulasnya lagi, penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan boleh menyebabkan berlaku 'overload' atau beban berlebihan pada sistem elektrik, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran.

"Serta pendawaian lama yang tidak diselenggara. Ini adalah faktor-faktor yang mengakibatkan kebakaran di premis berlaku.

"Keadaan cuaca panas ini juga meningkatkan risiko berlakunya pemanasan kepada peralatan-peralatan elektrik sepertimana yang telah saya sebutkan tadi, terutamanya di sambungan soket," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap penggunaan peralatan elektrik di rumah selain memastikan sistem pendawaian sentiasa berada dalam keadaan baik dan diselenggara.

Penggunaan soket secara berlebihan juga perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko 'overloading' yang boleh mencetuskan kebakaran.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan setiap rumah memiliki alat pemadam api jenis debu kering sebagai alternatif tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran.

"Alat pemadam api ini kita rasa tak penting pada pandangan orang biasa. Tapi itulah 'lifeline' kita sebab dikala orang tengah tidur waktu malam dan sebagainya, berlaku kebakaran, kepada siapa kita nak minta tolong?

"Selain daripada kita sendiri, nak kena padamkan kebakaran itu," ujarnya sebelum menegaskan kepentingan pengetahuan dan tindakan awal dalam menghadapi situasi kebakaran.


Ketupat

Artikel Berkaitan