Berita :
'Bukan Projek UMNO atau PAS, Itu Duit Kerajaan' - Dr Azman
'Bukan Projek UMNO atau PAS, Itu Duit Kerajaan' - Dr Azman
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
62

SETIU, 13 Mei  – Kerajaan negeri menyifatkan dakwaan kononnya pentadbiran sekarang hanya sekadar 'menumpang tuah' merasmikan projek rintisan kerajaan terdahulu sebagai satu tanggapan yang perlu diperbetulkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, istilah yang lebih tepat adalah kerajaan hari ini bertanggungjawab menyiapkan projek yang tertangguh demi kepentingan rakyat.

Menurut beliau, mana-mana projek pembangunan yang dilaksanakan bukanlah milik mutlak mana-mana parti politik, sebaliknya menggunakan dana awam.

"Duitnya ialah duit kerajaan, bukan duit UMNO atau PAS. Apa yang patut kita buat dengan projek ini bila kerajaan bertukar? Yang saya faham ialah kita perlu siapkan dan rasmikan supaya rakyat boleh guna," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial miliknya. 

Beliau memberi contoh ikonik seperti Jambatan Angkat Drawbridge di Kuala Terengganu yang mula dibina pada penggal lepas namun hanya disiapkan sepenuhnya pada tahun 2019 di bawah pentadbiran sekarang.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menjelaskan, prinsip yang sama diguna pakai dalam isu liabiliti kewangan negeri.

Ujar beliau, Kerajaan PAS Terengganu tetap mengambil tanggungjawab melunaskan hutang berjumlah RM600 juta yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

"Kita ambil tanggungjawab bayarkan sebab itu bukan hutang UMNO, tapi hutang kerajaan. Sifirnya mudah, hutang itu digunakan untuk projek manfaat rakyat, jadi kerajaan sekarang perlu selesaikan," tegasnya.
Menyentuh mengenai pembangunan di kawasan Jabi, beliau mendedahkan terdapat cadangan daripada Majlis Daerah Besut (MDB) untuk mengadakan majlis perasmian bagi Hentian R&R Jabi yang kini telah siap sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak meneruskan majlis perasmian tersebut bagi mengelakkan polemik politik yang tidak produktif.

"Saya kata tak perlu majlis perasmian. Nanti timbul pula isu PAS rasmi R&R yang UMNO buat.

"Bagi kita, namanya kekal R&R Jabi. Kita tak ubah dan tak berhajat nak tuntut apa-apa kredit. Ianya adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk menyiapkannya demi kemudahan orang ramai," tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan