Jalur Gemilang
Berita :
TDM Serah RM1.13 Juta Keuntungan Kepada Tabung Amanah Warisan Terengganu
TDM Serah RM1.13 Juta Keuntungan Kepada Tabung Amanah Warisan Terengganu
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 11 November – TDM Berhad (TDM) menyerahkan bayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1.13 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Bayaran itu merupakan hasil kerjasama strategik kedua-dua pihak menerusi projek tanaman kelapa sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman yang dilaksanakan sejak 1996.

Penyerahan tersebut dibuat ketika TDM mencatatkan peningkatan prestasi kewangan bagi tahun 2025 dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM42.37 juta berbanding RM10.28 juta pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan laporan kewangan beraudit syarikat, TDM turut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 19 peratus kepada RM768.05 juta berbanding RM645.65 juta pada 2024.

Keuntungan selepas cukai bagi operasi berterusan pula meningkat kepada RM21.17 juta berbanding RM3.73 juta, manakala keuntungan selepas cukai keseluruhan kumpulan mencatatkan RM15.86 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, pembayaran berjumlah RM1,133,669 kepada LTAWNT itu membuktikan kerjasama jangka panjang antara sektor korporat dan kerajaan negeri mampu memberikan pulangan kewangan secara berterusan.

Menurutnya, projek yang diuruskan TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) itu melibatkan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT.

“Melalui pengurusan perladangan yang cekap dan berteraskan amalan mampan, usaha sama ini bukan sahaja memberikan pulangan kewangan kepada kedua-dua pihak, malah menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat, pewujudan peluang pekerjaan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bayaran Keuntungan TDM Berhad kepada LTAWNT di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Penyerahan replika cek disempurnakan Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman.

Turut hadir, Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham serta ahli lembaga pengarah TDM dan LTAWNT.

Mengulas lanjut, Najman berkata, kerjasama yang terjalin hampir tiga dekad itu menjadi contoh bagaimana pengurusan aset secara strategik mampu menjana nilai ekonomi jangka panjang kepada negeri.

“Kerjasama yang bermula hampir tiga dekad lalu itu menjadi antara contoh kesinambungan usaha sama dalam sektor perladangan yang berupaya menjana nilai ekonomi jangka panjang.

“Pembayaran ini turut mencerminkan peranan TDM dalam mengoptimumkan penggunaan tanah, meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri kelapa sawit,” ujarnya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan