Jalur Gemilang
Berita :
Cadangan Zahid Bubar Parlimen Wajar Dipertimbang Anwar
Cadangan Zahid Bubar Parlimen Wajar Dipertimbang Anwar
Noraini Jusoh
41 minit yang lepas
29

KUALA TERENGGANU, 11 November – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berpandangan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan Kabinet wajar dipertimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, pandangan Presiden UMNO itu perlu diberi perhatian memandangkan beliau merupakan antara individu paling hampir dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini.

“Saya tidak mahu pergi jauh untuk komen sebab yang menyatakan perkara itu ialah individu yang paling hampir dengan kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini.

“Kalau dirasakan bahawa apa yang disebut oleh beliau itu relevan memandangkan beliau berada bersama-sama dengan kerajaan yang sedia ada di peringkat Persekutuan, saya rasa itu satu perkara yang boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Jadi kita serahkan kepada kerajaan pusat bagaimana untuk meneruskan apa yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Replika Cek Bayaran Keuntungan TDM Berhad kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri melihat kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpotensi membuka ruang kepada kerjasama lebih luas di peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi kerjasama jentera kedua-dua gabungan yang semakin baik dalam menghadapi PRN Melaka ketika ini.

Menurutnya, hasil tinjauan di lapangan mendapati hubungan antara jentera PN dan BN berada pada tahap baik, malah lebih harmoni berbanding situasi ketika PRN Negeri Sembilan sebelum ini.

"Saya percaya suasana yang sangat harmoni dan kerjasama yang dibina itu akan membuahkan keputusan yang terbaik dalam PRN Melaka.

"Malah, saya melihat perkara ini bukan sekadar penanda aras di Melaka, sebaliknya membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas di seluruh negara terutama dalam menghadapi PRU16 nanti. Saya sangat optimis dengan keadaan yang ada," katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan