• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Daging Kambing, Kacang Dal Antara Lapan Barangan Harga Kawalan Deepavali

KUALA TERENGGANU, 9 November- Lapan barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, berkuat kuasa bermula 9 hingga 15 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, barangan lain ialah bawang merah besar import, bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.

 “Tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“Selain daripada barang-barang di bawah harga kawalan maksimum sedia ada, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini.

 “Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga,” ujarnya pada sidang media pengumuman SHMMP Deepavali 2023 di Mydin Mall di sini, hari ini.

Katanya, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran seperti ekonomi global.

“Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri.

“SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujarnya.

Tambah beliau, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.

“Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDN Terengganu akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” ujarnya.