• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dakwaan Empat Cawangan BERSATU Bubar Hanya Provokasi BN

HULU TERENGGANU, 18 November - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Terengganu menafikan laporan media yang mendakwa empat cawangan BERSATU di daerah itu dibubarkan. 

Setiausahanya, Mohd Zawawi Ismail berkata semua empat cawangan BERSATU berkenaan masih wujud dan mempunyai ramai keahlian aktif.

"Laporan yang mendakwa empat cawangan BERSATU iaitu di Kampung (Kg)Bukit Apit, Felda Mengkawang, Pengkalan Ajal dan Kg Payang Kayu dibubarkan adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

"Dakwaan itu hanyalah gimik politik murahan individu terdesak yang berniat jahat untuk menjatuhkan moral serta kesepaduan jawatankuasa dan ahli BERSATU Bahagian Hulu Terengganu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15, esok ," ujarnya.

Menurut Zawawi, individu yang mendakwa cawangan BERSATU dibubarkan dan ditutup adalah ahli jawatankuasa yang bermasalah dan tidak memahami perlembagaan parti serta undang-undang pertubuhan.

"Mereka tiada hak dan kuasa untuk membubarkan atau menutup mana-mana cawangan atau bahagian parti. 

"Pengunduran beberapa ahli jawatankuasa cawangan yang bermasalah itu tidak memberi kesan atau menjejaskan parti," katanya.

Jelas Zawawi lagi, Zamani Mamat yang merupakan  bekas Setiausaha BERSATU Bahagian Hulu Terengganu telah lama meninggalkan parti selepas tewas kepada Datuk Rosol dalam pemilihan jawatan Ketua Bahagian.

"Alias Abdullah pula adalah bekas Pengerusi Penyelaras BERSATU DUN Ajil yang tidak aktif selepas dilantik sebagai pengurus syarikat perniagaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozi Mamat," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, seluruh kepimpinan BERSATU Bahagian tersebut termasuk 15 cawangan turut memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Rosol sebagai Ketua Bahagian yang juga calon Perikatan Nasional-PAS bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu untuk PRU-15.

Justeru itu, pihak yang berkenaan diingatkan supaya tidak membuat kenyataan tidak berasas mengenai BERSATU Hulu Terengganu semata-mata untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu.