• 25 Mei 2024 | 17 Zulkaedah 1445

‘Dapo Mok Kiter’ Angkat Kembali Makanan Tradisi Negeri

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Opok-Opok, Ke’ang, Che Abas Demam, Lempeng Anakkang, Urat Jati, Puli Ubi Kayu, Tepung Pasung, Ghepok Kacang ,Nisan Nyior dan Loklik antara sebahagian daripada 60 jenis makanan tradisi Terengganu yang menjadi tarikan pada Pameran ‘Dapo Mok Kite’ anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Pameran bermula hari ini (16 Oktober) sehingga 31 Mac 2024 yang berlangsung di kompleks muzium negeri, bertujuan menonjolkan kembali keunikan, kehebatan seni dan budaya makanan tradisi negeri.

Tema ‘Dapo Mok Kite’ dipilih sebagai mengimbau kenangan air tangan orang lama dalam penyediaan makanan dan kuih-muih tradisi yang kini sukar ditemui, dan pihak muzium mengambil inisiatif menonjolkan dalam bentuk ‘fake food’ pada pameran tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, selain mendedahkan pengunjung mengenai kepelbagaian jenis makanan tradisional Terengganu, pameran tersebut membuka peluang kepada mereka untuk menimba ilmu.

“Bukan sahaja di kalangan generasi baharu tetapi generasi lama pun kalau tidak didedahkan dengan pameran sebegini, kadang-kadang kuih-kuih tertentu kita tidak mengetahui kewujudannya.

“Saya ucapkan terima kasih kepadap pihak muzium kerana mengambil pendekatan proaktif memastikan perkara-perkara warisan ini dapat terus dihayati oleh generasi sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran ‘Dapo Mok Kite’ dan Seminar Kearifan Tempatan: Gastrononomi Alam Melayu 2023 di Dewan Mandalika, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, hari ini.

Turut hadir,  Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.

Sulaiman berkata, program seumpama ini diharap menjadi platform terbaik dalam menatijahkan hasrat kerajaan negeri memartabatkan warisan gastronomi tradisi tempatan.

“Saya percaya usaha murni Lembaga Muzium Negeri Terengganu ini amatlah bertepatan dan memenuhi aspirasi kerajaan negeri untuk mengangkat seni dan warisan budaya sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 melalui teras pembangunan ke lima iaitu Memperkayakan Personaliti Budaya dan Warisan,” ujarnya.