• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dasar Baharu Bakal Realisasikan Terengganu Sebagai Hub Pelaburan

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan negeri merangka satu dasar perindustrian baharu dengan menetapkan sasaran untuk menarik lebih banyak bisnes dengan konsep mesra pelabur, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata,  komited membangunkan Terengganu secara mampan melalui pelaburan perindustrian bagi semua sektor dengan perancangan yang lebih teratur dan komprehensif.

“Dasar ini bermatlamat untuk membangunkan ekonomi melalui peningkatan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Negeri Terengganu khasnya dalam sektor pembangunan perindustrian.

“Kerajaan Negeri bersedia menawarkan ruang dan peluang kepada pelabur dalam pelbagai sektor seperti petrokimia, perkayuan, pembuatan dan pemprosesan. 

“Melalui perkembangan dalam sektor perindustrian ini, pihak Kerajaan Negeri yakin ianya dapat meningkatkan ekonomi rakyat di Negeri Terengganu dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Bengkel Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu, di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman dan Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Muhd Wan Masyhum Wan Harujan.

Jelas Tengku Hassan, pihak Kerajaan Negeri berharap dengan wujudnya Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian ini ia akan menjadi asas rujukan dan panduan kepada jabatan-jabatan serta agensi di bawah Kerajaan Negeri untuk mempromosikan tanah-tanah perindustrian kepada pelabur.

“Kerajaan Negeri turut memberi penekanan dalam program Pemutihan Kawasan Perindustrian bagi tanah-tanah yang tidak dibangun dan dimajukan di kesemua kawasan perindustrian di seluruh daerah di Negeri Terengganu secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri juga komited dalam usaha untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai Hub Pelaburan penting di Malaysia menjelang 2030,” katanya lagi.

 


Tag: