Jalur Gemilang
Berita :
Dasar ‘Satu Keluarga Satu Usahawan’ Perlu Diperhalusi
Dasar ‘Satu Keluarga Satu Usahawan’ Perlu Diperhalusi
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
58

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Cadangan memperkenalkan dasar ‘satu keluarga satu usahawan’ dilihat mampu memperkukuh ekosistem keusahawanan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira minat dan kemampuan setiap individu.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pendekatan secara menyeluruh tanpa mengambil kira kecenderungan individu dikhuatiri kurang berkesan.

Menurutnya, tidak semua individu mempunyai minat dan pemikiran keusahawanan yang membolehkan mereka berkembang dalam bidang berkenaan.

“Cadangan itu bagus, cuma pelaksanaannya perlu diperhalusi. Kalau minda keluarga itu sendiri bukan usahawan, kita sukar untuk mendorong mereka.

“Kita boleh letakkan sebagai satu indikator, tetapi pelaksanaan perlu dilihat dengan lebih terperinci kerana pengalaman kita menunjukkan apabila seseorang yang tidak mempunyai minda usahawan diletakkan dalam bidang itu, mereka sukar untuk bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Sejahtera 2026 di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di sini semalam.

Karnival itu dianjurkan Kelab Usahawan Haraki Malaysia (Ku-Haraki) dengan kerjasama YPU Terengganu.

Cadangan ‘satu keluarga satu usahawan’ merupakan antara resolusi yang diusulkan pada Kongres Ekonomi Rakyat Terengganu sempena karnival berkenaan bagi memacu kemakmuran ekonomi rakyat dan memperkukuh agenda keusahawanan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini berkata, pendekatan lebih bersasar perlu diberi perhatian bagi memastikan individu yang dipilih mempunyai minat serta kecenderungan untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Kalau kita letakkan orang yang mempunyai minda usahawan di tempat yang sesuai, mereka akan lebih mudah bergerak dan berkembang.

“Jadi kalau hendak dilaksanakan secara pukul rata, saya rasa agak sukar. Tetapi jika mahu dijadikan satu dasar, perkara ini boleh diperhalusi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Terengganu dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran karnival berkenaan di Malaysia sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Menurutnya, resolusi yang diperoleh menerusi karnival itu akan diteliti bagi melihat kesesuaian pelaksanaannya di peringkat negeri mahupun nasional.

“Alhamdulillah, Terengganu berjaya menjadi venue pertama dan kita akan turun ke negeri-negeri lain untuk mengukuhkan lagi usahawan di peringkat negeri.

“Hasil resolusi yang diperoleh akan kita cuba laksanakan dan kita lihat kesesuaiannya sama ada di peringkat negeri ataupun Malaysia,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan