• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dedah Isu Semasa Kepada Anak Muda

MARANG, 23 November - Anak muda pada hari ini perlu diberikan pendedahan mencukupi terhadap pelbagai isu semasa yang sedang berlaku di tanah air untuk memastikan mereka kekal terkini dan berwawasan.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, ia membantu mereka membentuk pandangan yang matang dan bersedia untuk berperanan secara positif, melalui kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap realiti sosial dan ekonomi di tanah air.

"Program Anak Muda Sayang Terengganu ini diadakan bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan sifat patriotik, serta definisi yang tepat mengenai politik dan kepimpinan. 

"Selain itu, bertujuan untuk menghapuskan stigma buruk mengenai politik dan kepimpinan, juga bagi melahirkan pelapis kepimpinan yang berilmu, kompeten dan berdaya tahan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Anak Muda Sayang Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Marang pada semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman mengenai situasi politik negara, terutamanya di kalangan anak muda Terengganu.

"Perlu difahami bahawa agenda utama dalam mengurus tadbir negeri tak lain tak bukan adalah untuk menyampaikan Islam.

"Mengurus tadbir negeri daripada sudut pelancongan, ekonomi, undang-undang, hiburan dan banyak lagi, mengikut acuan Islam," ujarnya.

Katanya lagi, wanita turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah negeri antaranya membantu untuk mengimbangi sudut pandang dan mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat. 

"Memberikan perhatian kepada aspek-aspek kemanusiaan dalam pembuatan keputusan kerana wanita mempunyai kepekaan social yang tinggi. 

"Wanita mendapat peluang untuk bersuara dan menyuarakan keperluan," katanya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agar menyokong dan memberi peluang yang setara kepada wanita dalam pentadbiran kerajaan.


Tag: