Delegasi Malaysia Ke London Kaji Reformasi Pengasingan Perundangan

LONDON, 12 Mac –  Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh kini berada di London, United Kingdom, sebagai wakil blok pembangkang dalam lawatan kajian empirikal mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Lawatan ini turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama delegasi yang terdiri daripada Ahli Parlimen, pegawai kerajaan, serta wakil Majlis Peguam Malaysia.

Kajian ini bertujuan meneliti model pengasingan fungsi pendakwaan dan penasihatan undang-undang yang diamalkan di United Kingdom bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya di Malaysia.

Delegasi telah menghadiri sesi perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM, Fakulti Undang-Undang University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sesi ini turut dihadiri oleh mantan Peguam Negara UK, The Rt. Hon. Victoria Prentis KC, serta mantan Pendakwa Raya England dan Wales, Sir Max Hill KCB KC, yang berkongsi pengalaman mereka mengenai struktur pentadbiran perundangan di negara tersebut.

Selain perbincangan dengan pakar perundangan, delegasi juga mengadakan sesi libat urus dengan organisasi berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan pertubuhan masyarakat sivil yang menekankan aspek tadbir urus dan integriti dalam sistem kehakiman. Perbincangan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami cabaran dan keperluan dalam pelaksanaan pengasingan peranan ini, sejajar dengan reformasi institusi yang sedang dirangka.

Lawatan ini merupakan kesinambungan daripada kajian terdahulu yang telah dijalankan di Australia dan Kanada, dalam usaha memperkukuh sistem keadilan negara. Hasil dapatan daripada siri kajian ini akan menjadi asas kepada cadangan model terbaik yang boleh diadaptasi dalam rangka kerja perundangan Malaysia bagi memastikan sistem pendakwaan yang lebih bebas dan telus.

Sebagai wakil pembangkang dalam delegasi ini, Zulkifly terus memainkan peranan aktif dalam memastikan setiap aspek reformasi yang dicadangkan mengambil kira kepentingan semua pihak. Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam sistem perundangan negara mestilah berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan, dan kesejahteraan rakyat.


Tag: