• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Dialog Islam - Kristian Perlu Diketengahkan


Datuk Seri Abdul Hadi gesa dialog antara agama sebagai langkah menjaga keharmonian.
MARANG, 15 November - Pihak yang mengedarkan Bible baru-baru ini digesa menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sepatutnya pihak berkenaan mengadakan sesi dialog terbuka dengan cendekiawan Muslim dalam mencari kebenaran dan menjaga hubungan antara agama.

“Agama Islam dilindungi perlembagaan dan bidang kuasa negeri-negeri. Sepatutnya  dialog diketengahkan dan bukan edar Bible.

“Mengapa agenda Dr. Zakir Naik yang dilakukan secara terhormat dibendung? Pihak gereja perlu terbuka dengan orang Islam untuk berdialog,” katanya ketika merasmikan bangunan baru Madrasah Darul Iman di Kampung Titian Baru, Bukit Payung, hari ini.


Sebelum ini, tular di media sosial gambar yang memaparkan kegiatan mengedarkan Bible kepada pelajar Muslim di beberapa sekolah di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS, turut mengingatkan batas kebebasan dalam beragama yang digariskan perlembagaan Malaysia.

“Kita sedar walaupun ada kebebasan beragama perlu ada batasnya iaitu jangan menyentuh sensitiviti orang Islam. Umat Islam menjaga diri untuk tidak menyentuh sensitiviti bukan Islam, tetapi hubungan dijalinkan secara terhormat.

 “Setiap negeri memiliki bidang kuasa berkenaan hal ini di samping Kerajaan Persekutuan juga memiliki kuasa tertentu (bagi menanganinya),” katanya.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Manakala, Perkara 11(4), Perlembagaan memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang Islam.


  



Tag: