• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Dr Azman Sangkal Fitnah Jijik UMNO

Oleh : Mazurea Deraman

SETIU, 23 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyangkal fitnah jahat pendokong UMNO Setiu berhubung isu tempahan Dewan Sivik bagi program Tabika Kemas. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu menegaskan pihaknya tidak pernah membatalkan tempahan dewan pada saat akhir sebaliknya Tabika Kemas DUN Jabi hanya menempah dewan tersebut pada 20 Jun. 

"Pada 20 Jun pihak Tabika Kemas DUN Jabi telah mengadakan Program Bengkel Kemahiran Keibubapaan Siri 1 di sana dan dirasmikan oleh Mantan ADUN Jabi merangkap Penyelaras UMNO DUN Jabi. 

"Oleh kerana Siri 1 berlangsung dengan baik, maka baru ada permohonan untuk mengadakan program siri kedua pada 22 Jun 2023.

"Namun permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana adanya pertembungan tempahan yang telah dibuat lebih awal oleh pelajar-pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada tarikh yang sama," katanya. 

Beliau berkata demikian di facebooknya bagi menjawab tuduhan songsang Malek Mat hari ini. 

Menurutnya lagi, guru-guru Tabika Kemas sudah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Bakat dan mereka memahami. 

"Jadi, program siri kedua telah dipindahkan ke lokasi lain, Pengerusi JPKK Kampung Bakat bermurah hati untuk untuk memberi pinjam kerusi kepada pihak Kemas untuk digunakan dalam program tersebut," ujarnya. 

Oleh itu katanya, tuduhan kononnya tempahan Dewan Sivik telah dibatalkan pada saat akhir adalah sekadar fitnah berniat jahat semata-mata. 

Sementara, Pegawai Khas Dr Azman, Mohd Amaturrahman Mat Jaafar berkata, pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya Malek Mat tidak membuat permohonan maaf dalam tempoh 12 jam. 

 


Tag: