• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dr Sam Rai Lebih 800 Perantau Terengganu

SHAH ALAM, 21 Oktober – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan lebih 800 perantau Terengganu pada Program Bekwoh dan Hari Sukan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

Ahmad Samsuri berkata program itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan saling mengenal sesama anak-anak Terengganu di perantauan.

“Walaupun duduk berjauhan namun kerajaan tidak akan melupakan golongan perantauan, semuanya dalam hati kami.

“Program ini akan sentiasa diadakan bagi membantu dan mengeratkan lagi hubungan kerajaan dan golongan perantauan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bekwoh dan Hari Sukan Perantau bertempat di Dataran Dewan Alamanda, Seksyen 20, Shah Alam di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Pengarah program, Wan Mohd Ariffuddin Wan Omar berkata penganjuran selama dua hari berlangsung itu berjalan lancar dengan sokongan penuh kerajaan negeri.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perantau Lembah Klang berkata sebanyak seekor lembu ditumbangkan yang memberi manfaat lebih 800 orang peserta yang terlibat.

“Turut disediakan cabutan bertuah dan hadiah kepada para peserta dengan hadiah utama berupa sebuah Televisyen dan voucher penginapan dari Paya Bunga Hotel.

“Program tersebut berjalan lancar walaupun pada hari kedua hujan sedikit turun” ujarnya.