• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman

KEMAMAN, 4 Disember - Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan menyaksikan anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan lima rakan industri bagi membangunkan Pelabuhan Kemaman.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, kerjasama dengan BOID Global Sdn Bhd, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH), JXR Manufacturing Sdn Bhd (JXR) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bakal merancakkan Pelabuhan Kemaman. 

Katanya, jalinan kolaborasi antara organisasi-organisasi yang terlibat meliputi aspek advokasi, pembangunan kapasiti, pembekalan dan penyenggaraan serta perkhidmatan media.

"Tahniah atas jalinan kerjasama strategik antara semua pihak selain perkembangan operasi di Kumpulan EPIC dengan kehadiran dua kren gantri di Dermaga Timur (yang dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan).

"Operasi kren gantri tambahan ini akan menambah lagi kecekapan Pelabuhan Kemaman kepada sekali ganda sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk daerah ini.

"Kekerapan kapal-kapal (kargo) masuk ke sini akan bertambah sekali gus memberi kelebihan kepada pemain-pemain industri di kawasan," katanya ketika ditemui di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berharap perkembangan Pelabuhan Kemaman dapat mendorong lebih banyak syarikat untuk melabur dan melebarkan operasi mereka di Kemaman.

"Ia membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada warga tempatan," tambah beliau.

 

 


Tag: