• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dr Sam Seorang 'Strategic Minded' - Bekas SU Agung UMNO

KUALA TERENGGANU, 21 November - Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai seorang mempunyai pemikiran strategik.

Annuar berkata perkara itu dapat dilihat apabila beliau duduk bersama Dr Sam sekali gus meninjau pemikiran calon PAS PRK Kemaman itu.

"Saya pernah berbincang dan bertanya kepada Dr Sam mengenai apa rancangan Kerajaan Terengganu apabila stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diwujudkan.

"Dr Sam secara tuntas menjawab pertanyaan saya dan saya sebagai perancang asal menyokong jawapan tersebut.

"Sekali gus dapat saya simpulkan beliau mempunyai pemikiran yang sangat strategik dan bijak," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika wawancara Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Studio PAS kawasan Kemaman di sini kelmarin.

Tambah Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, pada awalnya Terengganu mempunyai lima stesen namun Menteri Besar itu menggunakan kepakarannya sehingga berjaya menambah kepada enam stesen ECRL di Terengganu.

Beliau berkata, Dr Sam telah merancang sekurang-kurangnya empat daripada stesen tersebut dijadikan sebagai kargo.

Katanya ini kerana, industri kereta api tidak membangun daripada penumpang sahaja.

Tetapi jelas beliau, industri tersebut membangun kerana logistik pengangkutan.

"Kaedahnya, stesen itu mesti ada fasiliti untuk mengawal kargo.

"Saya melihat dengan jelas bahawa Terengganu ada perancangan yang tepat menjadikan empat stesen bagi menguruskan kargo.

"Strategik ini akan membawa wajah baharu yang besar maknanya dengan kehadiran ECRL kepada Terengganu," ujarnya.


Tag: