• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Dr Sam Serah Polis Siasat Kenyataan Kontroversi Lim Kit Siang

KUALA NERUS, 19 Disember - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil langkah bagi melakukan siasatan terhadap kenyataan kontroversi yang dibuat Lim Kit Siang.

"Saya rasa pihak berkuasa melalui polis telah mengambil langkah memanggil beliau dan (melakukan) soal siasat.

"Perkara ini saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah seterusnya terutama bagi memastikan keharmonian dalam negara kita ini masih tercapai.

"Jadi sebarang suara-suara (kenyataan) yang boleh menganggu keharmonian itu, sudah tentu kita tidak mahu dengar suara-suara sedemikian," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menghadiri Program Exclusive Meet & Greet With World Championship FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, hari ini.

Terdahulu, Veteren DAP itu mengeluarkan kenyataan bahawa  tiada sekatan dalam perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu menyentuh mengenai jemaah menteri baharu yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan Dr Ahmad Samsuri berkata pihaknya tiada ulasan khusus untuk diberikan.

Sebaliknya, hanya merakamkan ucapan tahniah terhadap pelantikan menteri dan timbalan menteri baharu atau pun yang masih dikekalkan selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet, pada Selasa lalu.

"Saya tiada komen khusus cuma mengucapkan tahniah dan 'good luck' kepada mereka yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri yang baharu ataupun yang lama (dikekalkan)," ujarnya.