• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dr Sam 'Suara Baru' Rakyat Terengganu Ke Parlimen

KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan wakil terbaharu rakyat Terengganu ke Parlimen Malaysia.

Ahmad Samsuri berkata kejayaan semalam adalah sebuah kemenangan yang diimpikan kerana ianya antara jambatan untuk terus teguh menyampaikan suara rakyat.

Katanya, sesungguhnya amanah ini berat dan takkan mampu dilakukan seorang diri tanpa kalian. 

“Saya anggap semua yang hadir semalam adalah mereka yang akan sentiasa sokong dan merealisasikan hasrat bersama.

“Nasihat dan tegurlah saya sekiranya diri ini lari dari landasan dan buat kesilapan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, mempertahankan kemenangan ada liku-likunya, mengisi kemenangan pasti lebih mencabar.

“Minta maaf dan terima kasih, daripada saya Ahmad Samsuri wakil Kemaman yang baharu, insya-Allah.

“Kepada para perantau yang dalam perjalanan pulang, semoga selamat sampai ke destinasi,” ujarnya.

Ahmad Samsuri yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu berjaya memperoleh undian sebanyak 64,968 melalui 249 jumlah peti yang diterima mengatasi pencabarnya sekali gus majoriti sebanyak 37,220.

Calon Barisan Nasional, Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor hanya mendapat undi 27,778.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: