KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2025, Nurin Sakinah Mohd Soberi menyifatkan anugerah tersebut sebagai pembakar semangat untuk dirinya terus maju ke hadapan.
Katanya, beliau amat gembira menerima pengiktirafan tersebut dan bersyukur segala kerja kerasnya dihargai.
“Saya sangat bersyukur sebab tidak jangka pun dapat anugerah ini. Terima kasih kepada kedua ibu-bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak mendorong dan membantu saya.
“Terima kasih juga kepada Yayasan Terengganu kerana telah menganugerahkan saya pingat emas dan memberikan kepercayaan kepada saya sebagai penerima anugerah ini.
“Saya nampak anugerah ini sebagai satu jalan untuk saya semakin maju ke hadapan, untuk melakar nama sebagai anak Terengganu,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2025 (kali ke-45) dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2024 serta Anugerah Sarjana Terengganu 2025 di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, penerima anugerah pingat emas diberikan insentif berupa wang tunai RM4,000, sehelai blazer, pingat emas, tablet dan sijil penghargaan.
Mengimbas kejayaan peribadinya, puteri bongsu daripada tujuh beradik kepada pasangan Mohd Soberi Abdul Moin,64, dan Rosyati Mohd Ali,57, itu membina asas akademik yang cemerlang sejak dari sekolah rendah lagi iaitu di Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai, di sini.
Perjalanan beliau memasuki Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu membuka fasa baharu yang sarat dengan pembentukan karakter, kepimpinan dan kematangan akademik sekali gus membolehkan beliau mencatat keputusan cemerlang SPM 12A+.
Pelbagai pengiktirafan dan penghargaan yang diraih Nurin Sakinah, antaranya Anugerah Pelajar Mithali SPM 2024, Pelajar Terbaik SPM 2024 seterusnya dinobatkan sebagai Tokoh Personaliti program Asasi Ulul Albab Yayasan Terengganu menandakan beliau sebagai aset intelektual negeri.
Lebih membanggakan, anak jati Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payong itu merupakan pemegang biasiswa Future Leader tajaan Yayasan Telekom Malaysia bagi mebiayai pengajiannya di peringkat A Level dan bakal melanjutkan Ijazah Sarjana Muda di United Kingdom.
Kini, beliau menuntut di Kolej Yayasan UEM, mengikuti A Level dalam bidang Sains Data, selari dengan aspirasinya untuk menjadi seorang Saintis Data yang kompeten dan berwawasan global.
Sementara itu, penerima Anugerah Sarjana Terengganu Kategori Khas, Nurul Asyiqin Shafie berkata, kekurangan diri bukan penghalang untuk seseorang mencipta kecemerlangan.
“Perasaan saya agak gembira dan teruja. Saya terima anugerah yang dikurniakan walaupun sebenarnya tidak sangka dapat capai ke tahap ini,” ujarnya yang mengalami kecacatan fizikal pada anggota kaki akibat kemalangan ketika menuntut dalam tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok (Model Khas), Setiu.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, disebabkan kemalangan yang dialami pada 1 Syawal itu menyebabkan beliau tidak dapat bersekolah selama tiga bulan dan hanya belajar dirumah.
“Tetapi alhamdulillah, masa SPM saya dapat 5A, lepas itu saya sambung STPM dapat PNGK 3.84 dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian ) TESOL,” ujarnya yang kini telah bergelar seorang guru Bahasa Inggeris dan sedang berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Johor.

