lightning-solid
Berita :
Dua Gajah Denak Bantu Pindahkan Gajah Liar di Jeram Manir
Dua Gajah Denak Bantu Pindahkan Gajah Liar di Jeram Manir
Mohd Haniff Abas
7 jam yang lepas
22

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Dua ekor gajah denak, Suria dan Indah, akan digunakan bagi membantu proses pemindahan seekor gajah betina liar yang dikesan berkeliaran di sekitar Kampung Jeram Manir, di sini.

Gajah Asia yang dianggarkan berusia lebih 30 tahun dan seberat lebih tiga tan itu dipercayai terpisah daripada kawanan sebelum bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mencari makanan.

Ia turut dilaporkan memakan tanaman penduduk termasuk pokok pisang.

ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, Suria dan Indah telah tiba semalam bagi membantu proses pemindahan gajah berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika meninjau persiapan bagi proses pemindahan itu petang tadi.

“Gajah ini dianggarkan berusia sekitar 30 tahun dan beratnya lebih tiga tan. Ia merupakan gajah betina yang dipercayai terpisah daripada kawanan.

“Gajah ini bergerak merata-rata untuk mencari makanan dan sebelum ini memakan tanaman penduduk termasuk pokok pisang,” katanya.
Menurut Ridzuan, proses pemindahan akan dilaksanakan dengan bantuan kedua-dua gajah denak terbabit.

Bagaimanapun, lokasi akhir bagi pemindahan gajah tersebut masih belum diputuskan.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan gajah berkenaan dapat dipindahkan dengan selamat selain mengelakkan sebarang risiko kepada penduduk susulan pergerakannya di kawasan penempatan.

“Yang penting kita mahu memastikan gajah ini dapat dipindahkan dengan selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada penduduk serta gajah itu sendiri,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan