• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dua Graduan Dedikasikan Anugerah Pelajaran DiRaja kepada Ibu Bapa

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA, Muhamad Amir Zainudin dan Ong Ying Qian.
KUALA NERUS , 17 November - Anak seorang pengawal keselamatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Muhamad Amir Zainudin menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena Konvokesyen Ke-10 universiti itu.

Turut menerima anugerah sama, Ong Ying Qian,24 , graduan Sarjana Muda Diatetik (Fakulti Sains Kesihatan) yang berasal dari Bera, Pahang.

Anugerah disampaikan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Muhamad Amir melahirkan rasa syukur dengan anugerah itu dan berazam untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di salah sebuah universiti impiannya di Jordan pada tahun hadapan.

"Alhamdulillah ini merupakan penghormatan kepada saya dan keluarga selepas berhempas-pulas selama ini...tiada rahsia untuk berjaya melainkan saya mengamalkan prinsip lebih banyak memberi daripada menerima.

"Bermakna lebih banyak kita beri ilmu dan bantu rakan-rakan maka saya lebih banyak dapat kefahaman tentang ilmu berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-10 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus, di sini hari ini.


Beliau yang kini sedang bekerja sebagai Arabic Content Analyst di Accenture Malaysia di Kuala Lumpur yang fasih berbahasa arab bercita-cita menjadi seorang pensyarah dalam bidang yang sama.

Anak ketiga dari lima beradik ini ingin membuktikan latar belakang keluarga dan kesusahan yang dialami bukan penghalang untuknya berjaya serta membalas pengorbanan kedua ibu bapanya yang telah bersusah payah menanggungnya selama ini.


Bagi Ong Ying Qian, 24, pula kejayaan diperoleh bukan alasan untuk mendabik dada tetapi dijadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.

"Bagi saya ini adalah batu loncatan untuk saya terus berjaya dengan berpegang kepada empat prinsip utama iaitu target, tindakan, tekun dan tabah sepanjang pengajian di sini.

"Hari ini saya bersyukur apabila menerima anugerah yang dianggap cukup bermakna bagi diri saya dan merupakan hadiah paling istimewa buat ibu bapa saya,"ujarnya.

Beliau yang bercita-cita untuk melanjutkan  pengajian hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di UniSZA kini sedang bekerja sebagai pembantu penyelidik di universiti yang sama turut menyimpan impian untuk menjadi seorang pensyarah yang terbaik untuk membantu bakal anak didiknya nanti.

Tag: