• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dua Isteri Arwah Khairul Terima Faedah PERKESO

DUNGUN, 8 September- Nasib kedua-dua isteri arwah Khairul Aswad Ismail, 42, yang meninggal dunia 4 September lalu kerana keracunan darah terbela apabila menerima Faedah Pengurusan Jenazah dan Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) Terengganu. 

Pengurus PERKESO Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, Suraya Mamat , 43, dan Rosliza Abdullah, 43, layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM 2,000 dan Faedah Pencen Penakat kerana suami mereka adalah pencarum aktif.

"Hasil daripada semakan PERKESO mendapati arwah Khairul Aswad merupakan pekerja di Syarikat Kilang Papan PESAKA Terengganu Berhad (PTB) dan mencarum selama 180 bulan tanpa gagal.

"Faedah Pencen Penakat yang layak diterima kedua-dua orang balu berkenaan adalah sepanjang hayat mereka dan bagi enam anak bersama arwah sehingga berumur 21 tahun." ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas  menyerahkan faedah berkenaan kepada keduanya dalam satu pertemuan ringkas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pengurus Besar PTB, Hilmi Awang.

Nor Alfizah berkata, maklumat mengenai kematian Khairul telah disampaikan oleh Ghazali dan tindakan segera telah diambil PERKESO bagi menyantuni keluarga arwah.

"Semoga mereka redha dengan pemergian arwah dan sentiasa tabah untuk meneruskan kehidupan mendatang.

"PERKESO Dungun juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Penyelaras DUN Bukit Besi serta pihak pengurusan PTB atas kerjasama diberikan,"  ujarnya

700

Sementara itu Ghazali berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas tindakan segera yang dilaksankan pertubuhan berkenaan.

"Alhamdulillah di dalam membantu masyarakat, terutamanya bagi membela nasib-nasib mereka terutama yang kehilangan ketua keluarga sangat kita titikberatkan.

"Kerana itu seringkali kita menghantar maklumat kepada PERKESO sehingga telah membawa kepada terjalinnya hubungan sebagai rakan strategi untuk Program 'Social Synergy PERKESO' . Semoga kedua-dua balu diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan dengan baik," ujarnya.