HULU TERENGGANU, 26 Disember - Seramai 447 mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, terpaksa dipindahkan selepas PPS berkenaan turut dinaiki air, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, dua PPS tersebut adalah PPS Batu 23(146 mangsa) ke Sekolah Kebangsaan Seri Berang dan PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil (301 mangsa )ke SMK Menerong.
"Pemindahan semua mangsa banjir di PPS tersebut dilakukan pasukan penyelamat melibatkan anggota Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan di lokasi terjejas banjir di Kampung Bukit Tok Bat.
Sementara itu, beliau berkata hasil pemantauan setakat petang ini, paras air bertahan namun di Hulu Berang, keadaan air masih lagi tinggi.
"Saya difahamkan aliran air deras dan menuju ke arah Kuala Berang atau terus ke Kuala Terengganu.
"Di Besut dan Setiu, trend air sungai menurun jadi bilangan mangsa banjir pun statik namun berbeza di Kemaman.
"Di Kemaman menunjukkan trend air sungai utama menaik dan air dari hulu juga turun agak laju ke kawasan Kuala Kemaman," ujarnya.
Justeru itu, Hassan menasihatkan mereka yang tiggal di kawasan rendah yang sentiasa berwaspada dan sedia untuk berpindah jika diarahkan.