lightning-solid
Berita :
DUN Buluh Gading Rintis Kerjasama Kulliyyah Al Furqan Bersama KQT
DUN Buluh Gading Rintis Kerjasama Kulliyyah Al Furqan Bersama KQT
Mohd Haniff Abas
16 jam yang lepas
58

KUALA TERENGGANU, 14 Januari 2026 – Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi DUN pertama yang menjalinkan kerjasama dengan Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) menerusi penubuhan Kulliyyah Al-Furqan Cawangan Buluh Gading yang akan mula beroperasi pada Khamis ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Ridzuan Hashim berkata, penubuhan cawangan ini merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan pendidikan al-Quran di peringkat komuniti.

“Alhamdulillah, akhirnya Kulliyyah Al-Furqan Cawangan Buluh Gading dapat dimulakan dan kita merupakan DUN pertama yang mengadakan kerjasama dengan Kolej Al-Quran Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kerika merasmikan Majlis Pembukaan Kulliyyah Al Furqan Kolej Al-Quran Terengganu Cawangan Buluh Gading di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading malam tadi.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan seramai 90 orang peserta mendaftar melibatkan tujuh kelas pengajian. 

“Kelas-kelas tersebut diadakan di Bangunan Serbaguna DUN Buluh Gading serta Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading.

DSCF5092.JPG 4.29 MB
“Penyertaan masih dibuka khususnya bagi kelas Ulum 1 yang memberi fokus kepada pengajian asas membaca al-Quran,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Kolej Al-Quran Terengganu, khususnya Ketua Eksekutif KQT, Prof. Madya Dr. Wan Mat Sulaiman, atas kesediaan membuka ruang kerjasama yang luas serta sokongan padu dalam merealisasikan penubuhan cawangan berkenaan.

Sementara itu, Dr. Wan Mat menyifatkan, penubuhan Kulliyyah Al-Furqan  sebagai satu permulaan yang sangat baik.

“Ini merupakan satu permulaan yang amat memberangsangkan. Walaupun baru dibuka, seramai 90 orang telah mendaftar. 

“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif pihak kolej untuk meluaskan khidmat kepada seluruh masyarakat dan tidak hanya berpusat di KQT sahaja,” katanya.

DSCF5132.JPG 3.63 MB
Beliau turut berharap lebih banyak DUN akan bersama dalam usaha memartabatkan pendidikan al-Quran di peringkat komuniti.

“Saya telah memaklumkan inisiatif tersebut kepada semua ADUN lain dan Alhamdulillah sudah ada yang mula mengambil langkah untuk mengikuti usaha berkenaan.

DSCF5162.JPG 4.6 MB
“Insya-Allah, keberkatan al-Quran akan membawa kepada kemakmuran masyarakat dan juga negeri secara keseluruhannya,” tambahnya lagi.

Penubuhan Kulliyyah Al-Furqan Cawangan Buluh Gading diharap dapat menjadi platform berterusan dalam mendekatkan masyarakat dengan al-Quran, memperbaiki bacaan, seterusnya memahami dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian.


Tag :

Artikel Berkaitan